SELAMAT DATANG

My Clock

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 11, 2009

AlKITAB DISAHKAN BENAR OLEH ARKEOLOGI

ALKITAB DISAHKAN BENAR OLEH ARKEOLOGI

1. PENGENALAN
Walaupun Alkitab mendakwa ia benar sejak permulaan sehingga akhir (Mazmur 119:160), ketepatan dari segi sejarahnya telah lama dicabar oleh orang-orang yang meragui atau skeptik. Sebenarnya, selama dua ratus tahun kebelakangan ini, serangan yang paling hebat dan berpanjangan telah dilancarkan terhadap otoriti dan kewibawaan Alkitab. Serangan-serangan ini dilakukan atas nama “sains.” Begitupun, dalam tempoh yang sama kita dapat menyaksikan pemantapan Alkitab yang paling dramatik dalam sejarah – juga dilakukan atas nama “sains.” Pejuang kebenaran firman Tuhan yang terbaru adalah satu alat yang paling tidak disangka-sangka dan tidak saintifik – penyodok (spade)!

Perkembangan yang menakjubkan ini menyebabkan seorang pemerhati yang prihatin telah mengatakan, “Saya percaya dengan penyodok. Dengan penyodok itulah, suku-suku kaum manusia mendapat makanan. Dengan penyodok, mereka telah mendapat air, arang batu, besi dan emas. Kini penyodok itu juga menyatakan kebenaran – kebenaran sejarah – sebuah lombong yang yang tidak pernah diterokai sehingga zaman kita ini.” (Oliver Wendell Holmes)

2. DAKWAAN KRITIKAN SAINTIFIK MODEN
Serangan moden ke atas Alkitab bermula sejak 1750 apabila Rasionalisme Eropah mula menunjukkan kekuatannya pada hari-hari sebelum Revolusi Perancis. Sebahagian daripada dakwaan utama oleh apa yang dikenali sebagai “Kritik Tinggi” adalah:
a) Watak-watak awal Alkitab seperti Abraham dan Yusof merupakan wira lagenda atau mitos yang tidak pernah wujud dalam sejarah.

b) Alkitab telah membuat kesilapan besar bila menyamakan kuasa bangsa Het (Hittites) dengan kuasa Mesir purba. Pengkritik tinggi mendakwa bahawa kekuasaan bangsa Het setakat taraf kedua saja.

c) Buku Daniel tidak memberikan gambaran sebenar budaya atau sejarah Babilon purba. Oleh itu, buku Daniel adalah cerita rekaan yang dikarang jauh terkemudian daripada yang didakwanya.

d) Perjanjian Baru tidak memberikan gambaran yang tepat berkenaan dengan dunia Greek-Rom abad pertama masehi. Oleh sebab itu, buku-buku perjanjian baru itu juga adalah hasil tulisan-tulisan terkemudian daripada yang didakwanya.

Adalah mustahil memberi jawapan yang efektif kepada persoalan-persoalan itu pada seratus lima puluh tahun yang lalu. Catatan sejarah purba yang boleh dipercayai – selari dengan catatan dalam Alkitab – memang tidak wujud langsung. Bagaimanapun dengan perkembangan maju sains Arkeologi modern, keadaan telah berubah secara dramatik.. Dalam tempoh seratus lima puluh tahun kebelakangan ini, satu demi satu taring-taring kritikan yang belum matang itu telah dicabut sepenuhnya – terutamanya oleh penyodok tukang gali dan kesabaran dan kemahiran pentafsir tulisan-tulisan purba.

3. KELAHIRAN ARKEOLOGI – PEJUANG TERBARU ALKITAB
Arkeologi – kajian saintifik mengenai barangan peningalan zaman – merupakan satu bidang sains yang paling muda, berusia lebih kurang 180 tahun. Bidang ini dilahirkan di tebing sungai Nil pada tahun 1798, apabila Napoleon membawa bersamanya sekumpulan besar ahli kesenian dan para pakar orang-orang Perancis dalam pasukan ekspedisi ke Mesir. Pada tahun itu, dunia moden yang gelisah dengan pertanyaan-pertanyaan bersemuka dengan dunia purba yang masih hebat walaupun sudah pudar. Pengiring-pengiring Napoleon berdiri melihat dengan takjub, penuh pertanyaan di hadapan mumia dan bangunan-bangunan bersejarah yang bangkit dari debu-debu purba menyambut kedatangan mereka. Jari jari mereka begitu gatal hendak mengorek sejarah untuk mengetahui bagaimana kehebatan Mesir itu lenyap dari muka bumi.

Beberapa tahun telah berlalu sebelum sisa-sisa sejarah Mesir itu dengan sabarnya dapat disusun dan dibaca. Tetapi demam mengejar dunia purba sudah bermula. Para pakar purba dari England, Jerman dan Amereka turut menerajui bidang tersebut dan Arkeologi moden pun berjalan lancar.

4. ANAK KUNCI YANG MEMBUKA HARTA DUNIA PURBA
Penghalang utama kejayaan para ahli Arkeologi adalah masalah bahasa. Bahasa Parsi, Babilon dan Mesir purba bukan bahasa pengantar atau tulisan dalam tempoh selama 2,000 tahun selepas kejatuhan bangsa-bangsa itu. Bahasa itu telah mati. Jadi sebelum para pakar moden itu dapat mentafsir catatan-catatan dunia purba itu, mereka harus mencari kunci terhadap bahasa yang telah lama ditinggalkan itu. Untuk mengetahui sejarah bagaimana kunci itu ditemui samalah dengan membaca sebuah cerita detektif yang menarik.

Kunci yang pertama adalah Batu Roseta yang terkenal itu. Batu tersebut kini tersimpan di muzium British. Kepingan batu basalt dengan baris-baris tulisan yang kemas ditemui oleh seorang jurutera tentera Perancis yang bernama Broussard pada tahun 1799 di Roseta, berhampiran dengan bahagian barat muara sungai Nil. Pada batu itu terdapat dekri yang di karang pada tahun 196 SM dan ditulis dalam tiga bahasa – Bahasa Mesir dalam bentuk tulisan bergambar (hieroglyphics); bahasa biasa Mesir (demotic); dan bahasa Greek. Tulisan dalam bahasa Greek itu telah memberikan klu kepada dua keping batu bersurat lagi. Dengan bantuan kunci ini, para pakar telah dapat membuka gudang sejarah dan kesusasteraan Firaun purba yang tak terhingga nilainya itu.

Kunci yang kedua adalah Batu Bersurat Behistun di Kurdistan di utara Parsi, di tepi jalan purba yang menghubungkan Ekbatana dangan Babilon. Henry Rawlinson, seorang pegawai muda tentera Inggeris yang berkhidmat di India adalah orang yang menemui kunci ini. Selama berabad-abad para pengembara mengetahui tentang kewujudan catatan tersurat itu yang terletak pada paras 200 kaki di atas permukaan batu curam yang terpacak 1700 kaki dari permukaan lembah sekelilingnya . Pada tahun 1835, Rawlinson telah mengambil risiko besar keatas dirinya sendiri, memanjat permukaan batu gondol yang curam itu dan menyalin catatan tersurat pada batu itu. Beliau mengambil masa empat tahun menyalin tulisan tersebut dan lapan belas tahun lagi untuk mentafsirnya. Catatan itu adalah surat peringatan peristiharan yang dibuat oleh Darius Agung raja Parsi yang di catat pada tahun 516 SM. Surat itu menggunakan tiga bahasa – Bahasa Parsi lama, Bahasa Elamitik dan bahasa Babilon purba. Kunci ini telah dapat membuka tulisan misteri Cuneiform Babilon dan Assyria purba.

Setelah kunci itu ditemui, para pakar dari Eropah dan Amereka mula memberi tumpuan sepenuh masa kepada mengkaji khazanah kesusasteraan dunia purba yang telah lama dilupakan.

5. BAGAIMANA PENYODOK TELAH MENGESAHKAN ALKITAB
Laporan lengkap menganai tafsiran penemuan dari peninggalan sejarah itu telah memenuhi arkib-arkib dan perpustakaan-perpustakaan besar di Eropah, Amereka dan Timur Tengah. Sebahagian daripada penemuan itu telah dapat menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan olah skeptik seperti pada bahagian 2 di atas.

a) Bangsa Het di bangkitkan dari dilupakan
Alkitab menyebut Het lebih dari empat puluh kali dan meletakkan kuasanya setaraf dengan Mesir. Tetapi sehingga 1860, catatan Alkitab merupakan saksi tunggal yang terpencil kepada kebesaran Het. Bangsa Het tidak pernah disebut dalam sumber sejarah klasik. Mereka lesap sepenuhnya daripada sejarah sehinggakan pada kira-kira 150 tahun yang lalu, beberapa pengulas Alkitab mengistiharkan dengan beraninya bahawa bangsa Het itu tidak pernah wujud. Kemudian melalui batu-batu bersurat dari Mesir dan Babilon dan yang terakhir melalui kajian tehadap reruntuhan kota-kota Het di Asia Kecil, empayar yang telah lama dilupakan itu kini telah di selamtkan secara dramatik dari dilupakan orang. Sebanyak dua puluh kota Het telah di temui dan di korek sejak 1892 apabila Dr. A. H. Sayce menerbitkan bukunya yang bertajuk “The Hittites – The Story of a Forgotten Empire.” Buku tersebut diterbitkan pertama kalinya pada 1952, memberikan gambaran sebenar dan terperinci bagaimana bangsa purba itu di bangkitkan semula. Begitu banyak batu bersurat Het ditemui sehinggakan sekarang ini terdapat 20,000 kepingan batu itu tersimpan di Muzium Berlin sahaja.

Dari epik penemuan yang menarik ini, Het telah muncul sebagai satu daripada empayar purba yang paling berkuasa, memerintah sebahagian besar Asia Kecil dan Syria dan menyamai kekuatan Assyria dan Mesir sebagaimana yang tercatat dalam Alkitab.

b) Terang yang jelas dan pengesahan ke atas Buku Daniel
Banyak batu-bata yang telah dipungut daripada reruntuhan Babilon purba bercap tanda tangan Nebukadnezar, melaungkan kesombongan seorang raja-pembangun-pahlawan: “Bukankah ini Babel yang besar itu, yang dengan kekuatan kuasa ku dan untuk kemuliaan kebesaran ku telah ku bangunkan menjadi kota kerajaan?” Daniel 4:30

Batu-batu bersurat Assyria bermula dari era sebelum buku Daniel, membuktikan bahawa “Dapur Perapian” dan “Gua Singa” merupakan satu bentuk hukuman yang biasa dijatuhkan kepada para pemberontak pada zaman itu (Daniel 3 dan 6)

Penemuan “silinder Nabonidus” yang terkenal di Ur wilayah Kasdim pada tahun 1854 dan penemuan seterusnya batu bersurat yang serupa telah mempastikan identiti Belshazzar, anak Nabonidus sebagai Putera Mahkota Babilon pada hari kejatuhannya. Akhirnya pada 1924, ko-regensi Nabonidus dan Belshazzar yang selama ini dipersoalkan oleh para pakar telah disahkan oleh penerbitan buku yang bertajuk, “Persian Verse Account” yang dengan jelas menyatakan bahawa Nabonidus telah mengamanahkan kerajaan Babilon kepada anak sulungnya. (Daniel 5)

Kepingan-kepingan batu Cuneiform (bentuk baji) didapati diantara reruntuhan Babilon bertarikh di antara 595 dan 570 SM mengandungi senarai catuan makanan yang diagihkan kepada orang-orang Yahudi yang ditawan. Bahkan satu daripada kepingan batu itu menyebut “Yehoyakin Raja orang Yudah.” Dengan yang demikian mengesahkan kesaksian Daniel bahawa sebenarnya merupakan orang tawanan di Babilon!

c) Pembenaran Dramatik Sejarah Perjanjian Baru
Satu daripada pengkritik tak mesra buku Kisah Para Rasul mengungkapkan buku itu sebagai “satu tisu silap yang paling buruk.” Orang yang berkemungkinan telah banyak mengubah pandangan salah itu adalah seorang pakar berbangsa Inggeris bernama Sir William Mitchell Ramsay. Dia memulakan penyelidikannya sebagai seorang yang penuh skeptik, Ramsay secara peribadi mengembara ke Asia Kecil (sekarang Turki) dan cuba mengikuti jejak perjalanan Paulus, menjangka akan dapat membuktikan bahawa ahli sejarah Perjanjian Baru itu adalah salah dari satu titik ke satu titik. Dalam ketakjubannya, dia mendapati bahawa catatan dalam buku Lukas adalah benar dan tepat sama sekali. Lebih jauh Ramsay meneruskan penyelidikannya, lebih banyak bukti dapat dikumpul sehingga Ramsay tidak ragu-ragu lagi meninggalkan sikap skeptiknya itu. Selepas hampir setengah abad bersabar, melakukan penyelidikan persendirian, dia telah menerbitkan sebuah buku yang menjelaskan keyakinannya terhadap Perjanjian Baru. Bukunya bertajuk, “ St. Paul, Pengembara dan Warga Rom”. Beliau mengatakan, “Riwayat itu (berkenaan lawatan Paulus ke Athen – Kisah 17) tidak melakukan walau satupun langkah yang silap ditengah-tengan banyak perincian.” Muka surat 238 buku tersebut.

“Saya mengambil pendirian bahawa sejarah yang dicatat oleh Lukas tidak dapat ditandingi dari segi ketepatan dan kebolehpercayaan --- kamu mungkin menekan kata-kata Lukas itu diluar jangkauan ahli sejarah yang lain tetapi catatan Lukas tetap bertahan terhadap penelitian terperinci dan ujian yang paling sukar.” ( ms 177, 179).

Pakar sejarah yang terbaru memberi kesaksian ketepatan sejarah dalam buku Kisah Para Rasul ialah Dr. A. N. Sherwin-White dalam bukunya bertajuk, “Roman Society and Roman Law in the New Testament yang diterbitkan pada tahun 1963. Dr. White adalah pakar Sejarah dan Undang-undang Rom. Bukunya itu mengandungi banyak kenyataan yang menyokong buku Kisah Para Rasul, antara lain menyebut:
“Ketika di Filipi, bila Paulus pertama kalinya dibawa di hadapan tribunal Rom, buku Kisah Para Rasul adalah memberi kenyataan paling tepat.” ms 101

“Dalam buku Kisah Para Rasul yang memperkatakan perjalanan Paulus di Asia Kecil dan Greek, seseorang akan sentiasa menyedari persekitaran Hellenistik dan Rom. Kerangka sejarah adalah tepat. Dari segi masa dan tempat, perinciannya adalah tepat dan betul.” Ms 120

“Bagi buku Kisah Para Rasul, pengesahan sejarah adalah sangat banyak .... sebarang percubaan menolak asas persejarahannya, walaupun dalam hal-hal perincian, pasti sekarang ini menjadi tidak munasabah. Para ahli sejarah Rom telah lama menerima kebenarannya.” Ms 189

Lebih ramai lagi pakar sejarah yang sama seperti Ramsay dan Sherwin-White yang akur dengan bukti-bukti jelas memberi perakuan yang serupa. Demikianlah jauhnya pengetahuan Alkitab mengalir selama 150 tahun yang lalu.

6. KESIMPULAN
Satu pelajaran paling berarti yang timbul dari kajian Arkeologi Alkitabiah adalah berkaitan dengan ketepatan yang sangat menakjubkan dimana Tuhan melakukan tindakanNya tepat pada masanya.

Era yang dikenali sebagai “kritikan saintifik” Alkitab bermula pada tahun 1750 M. Era Arkeologi Modern bermula pada tahun 1800 M. Sebaik saja “epidemic” kritikan timbul, Tuhan mengeluarkan ‘antidote’nya. Bagi menghadapi skeptik yang bertambah sofistiketed dalam zaman saintifik ini, Dia telah menyediakan bukti-bukti nyata, yang tidak dapat dipertikaikan, dan terbaru bagi kebenaran firmanNya, yang kekuatan dan relevennya semakin tinggi pada setiap tahun berlalu.

7. TAMBAHAN
a) Batu Rosetta
Kepingan batu basalt berukuran 2 kaki 4 ½ inci kali 3 kaki 9 inci di temui oleh tentera Perancis pada Ogos 1799. Pada permukaan kepingan batu itu terdapat coretan-coretan dalam bahasa yang tidak dapat dibaca oleh pekerja yang menemuinya pada masa itu. Pentafsir keseluruhan batu bersurat Rosetta ialah Profesor Jean Francois Champollion dari univewrsiti Grenoble, Perancis. Dari batu bersurat ini, beliau telah menemui kunci untuk memahami tulisan Mesir purba yang disebut hieroglyphs.

b) Batu Mobite
Kepingan batu itu berukuran 3 ½ kaki tinggi, 2 kaki lebar dan 2 kaki tebal. Batu ini juga dikenali sebagai “Batu Mesha.” Tulisan yang tercatat pada batu itu adalah dalam bahasa Ibrani. Tulisan asalnya diukir pada 847 SM. Dalam bahasa Fonesia yang juga digunakan oleh orang-orang Ibrani pada zaman itu. Tulisan itu menggambarkan kesombongan Mesha, raja orang Moab berjaya menentang Omri, Raja orang Israel (Bapa Ahab) setelah bertahun-tahun dibawah takluk orang Israel. (2 Raja-Raja 3:4,5). Walaupun batu bersurat ini tidak memberi apa-apa kunci untuk membuka misteri purba, tetapi telah menyokong Alkitab dalam hal-hal terperinci dalam Perjanjian Lama. Sekarang tersimpan di Louvre, Paris.

c) Silinder Nabonidus
Dalam Daniel 5, “Belshazzar, Raja Babilon” diistiharkan sebagai pemerintah terakhir Babilon, pada malam kejatuhannya. Bagaimanapun tidak ada catatan sejarah dunia sebelum zaman Kristian, sama ada Greek atau Babilon yang menyebut nama Belshazzar. Berdasarkan ini, para pengkritik Alkitab pada tahun 1800an mengatakan bahawa orang yang bernama itu tidak pernah wujud. Bagaimanapun pada 1854, Henri Rawlinson telah menemui batu tersebut di Ur. Pada batu tersebut, Nabonidus, Raja Babilon mencatatkan doanya memohon perlindungan daripada dewa bulan keatas dirinya dan anak sulungnya “Bel-sar-ussur” (Belshazzar). Menurut catatan pada kepingan Cuneiform yang tersimpan di Muzium British, Belshazzar dan Bapanya adalah pemerintah bersama empayar Babilon.

d) Kepingan-kepingan Batu Tell-El-Amarna
Sebanyak 320 kepingan tanah liat bersurat dalam bahasa Babilon telah ditemui secara kebetulan pada tahun 1887 oleh seorang perempuan petani Mesir di Tell-el-Amarna, 200 batu ke selatan Kaherah. Kepingan-kepingan bersurat ini sebenarnya adalah surat dari penduduk palestin memohon bantuan dari firaun Mesir menentang kemaraan Orang Ibrani ke tanah Kanaan.

e) Gulungan Kitab Laut Mati
Penemuan gulungan kitab “Dead Sea Scrolls” pada tahun 1947 merupakan satu penemuan arkeologi sensasi. Pada satu pagi musim bunga pada tahun 1947, tiga gembala kambing Arab menerokai gua yang baru dibuka di kaki bukit di Khirbet Qumran di hujung Laut Mati. Mereka menemui kumpulan pertama gulungan kitab-kitab. Selepas itu 40 gua lagi di terokai dan beratus-ratus manuskrip telah ditemui. Sebahagian besarnya adalah dari kitab-kitab suci dan sedikit dari buku-buku lain. Kajian menunjukkan, kitab-kitab itu telah disalin pada abad pertama sebelum masehi. Kitab-kitab itu telah dikenalpasti disembunyikan oleh orang-orang Yahudi pada abad pertama Masehi.

Apabila dibandingkan dengan kandungan Alkitab yang digunakan sekarang ini dengan kandungan gulungan kitab itu, didapati tidak ada perbezaan kecuali sedikit kelainan ejaan (seperti dalam bahasa Melayu, ejaan lama “bacha” berubah
jadi “baca”).

No comments: