SELAMAT DATANG

My Clock

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 11, 2009

KEWUJUDAN TUHAN

PELAJARAN 1
KEWUJUDAN TUHAN


Pernahkah saudara mendengar perkataan TUHAN? Tuhan itu apa atau siapa? Bagaimanakah rupanya? Dimanakah kita dapat melihatnya? Atau adakah benar-benar Tuhan itu ada atau semata-mata permainan kata saja?

Mari kita ke pantai laut. Pantai laut itu lebar dan memanjang sejauh mata memandang. Pasirnya halus dan bersih. Saudara melihat ke kiri, ke kanan, ke depan dan ke belakang. Tidak ada manusia selain saudara seorang diri. Di laut juga tidak kelihatan nelayan menangkap ikan. Tetapi saudara begitu pasti ada manusia di kawasan itu, setidak-tidaknya ada orang datang ke situ sebelum saudara sampai ke situ. Apakah yang membuatkan saudara begitu pasti bahawa manusia ada di pantai itu? Bekas tapak kaki manusia.

Mari kita menerokai sebuah bukit yang sangat indah dipandang. Di bukit itu terdapat pelbagai jenis pokok kayu, herba dan rumput. Tidak kurang pula burung-burung yang berterbangan dan serangga yang bernyanyi. Saudara tidak melihat ada manusia di bukit itu kecuali saudara seorang diri. Tetapi saudara begitu pasti ada manusia di kawasan itu, setidak-tidaknya sebelum saudara sampai ke situ. Apakah yang membuatkan saudara begitu pasti bahawa ada manusia di bukit itu? Bekas pekerjaan tangan manusia.

Saudara memandang ke padang yang lapang ditumbuhi rumput yang menghijau. Di satu bahagian padang itu, saudara terlihat batang-batang kayu yang sama panjang teratur sebaris dengan jarak yang sama dari satu batang ke satu batang kayu itu. Batang-batang kayu itu kelihatannya tidak hidup kerana tidak berdaun bahkan tidak berdahan dan ranting. Apa saudara kata? A ha, itu pasti bukan kejadian alam semula jadi. Itu hasil rekaan dan dibuat oleh tangan manusia. Itulah pagar namanya.

Saudara terlihat sebatang pokok kayu yang anih. Pada pokok itu tersandar sebatang dahan kayu. Apa saudara kata? Ah, kejadian alam semulajadi. Dahan patah, lalu jatuh dan tersandar di batang pokok kayu itu! Tetapi tidak jauh dari situ terdapat tiga batang kayu lurus, sama panjang, bersandar satu sama lain bertemu pada setiap hujung kayu itu, membentuk bagaikan piramid. Apa saudara kata? A ha, satu design (rekabentuk). Tidak mungkin hal ini satu kejadian alam semulajadi. Jika satu daripada batang kayu itu diasingkan, dua batang kayu itu akan rebah ke bumi dan tidak lagi kelihatan bentuk piramidnya.. Jika itu design, pastilah ada designernya (perekabentuk). Siapakah designernya?

Banyak hal dalam kehidupan manusia yang membawa kita kepada kesedaran bahawa wujud design dalam semua hal. Bagi setiap design, mesti ada sekurang-kurangnya tiga komponen barulah bentuknya dapat dilihat. Kita lihat beberapa contoh yang menunjukkan design.
Ruang. Paling kurang mesti ada tiga komponen. Komponen menegak panjang, menegak lebar dan horizontal. Buang satu daripadanya, bukan lagi ruang namanya.

Sel. Tubuh manusia terdiri daripada banyak sel. Contoh: Sel darah dan sel telur. Paling tidak sel harus mempunyai tiga komponen. Selaput atau dinding sel, sitoplasma dan nukleus. Buang satu daripadanya, itu bukan lagi sel. Itulah yang dikatakan design. Jika ada design, pasti ada designernya.

Sistem Solar. Dalam sistem solar kita, terdapat 9 planet yang diketahui mengelilingi matahari. Planet Utarid (Mercury) adalah yang paling dekat dengan matahari diikuti dengan venus kemudian bumi dan seterusnya Marikh (Mars) dan yang paling jauh Pluto. Semua planet itu berbentuk sfera. Kita mengetahui juga bahawa Matahari mempunyai tarikan graviti yang paling kuat. Tetapi mengapakah planet-planet itu tidak ditarik lalu bersatu dalam matahari? Anda lihat designnya? Planet mesti bulat kerana itulah design yang diperlukan untuk berpusing pada paksinya dan bergerak mengelilingi matahari. Mengapa perlu 9 planet mengelilingi matahari? Kerana itulah design yang diperlukan supaya planet-planet itu tidak ditarik oleh graviti matahari lalu ditelan oleh matahari.

Saudara telah melihat di alam semesta ini dipenuhi dengan design. Jika ada design tentulah ada designernya? Siapakah desingernya? Designer itu memperkenalkan dirinya dan minta manusia panggil dia sebagai TUHAN. Dari designNya, Tuhan mencipta apa yang direkabentukNya itu. CiptaanNya itu adalah bekas-bekas yang kita dapat lihat . Itulah yang membawa kesedaran kepada kita bahawa ada Tuhan. Tetapi kita tidak dapat melihat wajahNya. Suaranya dapat kita baca kerana Tuhan melalui manusia yang dipilihNya menuliskan dengan tinta akan firmanNya ke dalam lembaran-lembaran kertas. Dia hendak menyampaikan pelbagai berita antaranya:
Memperkenalkan diri Tuhan dan apakah sifat-sifatNya. Mengapakah manusia tidak dapat melihat wajahNya?

Bagaimana asal usul langit dan bumi dan segala isinya
Bagaimana permulaan kewujudan manusia
Apa itu dosa? Darimana datangnya dosa? Adakah dosa itu dicipta? Jika ya, siapakah penciptanya. Apakah hasil atau akibat dosa?
Adakah manusia diwujudkan berdosa? Jika ya, darimana dan bagaimanakah manusia mendapat dosa? Ke manakah arah tuju kehidupan manusia? Adakah manusia itu dilahirkan untuk mati? Jika tidak apakah pilihan mereka?

Mengapa manusia harus mati? Apakah yang berlaku kepada manusia itu setelah mati? Adakah manusia yang sudah mati itu menyedari perubahan disekitarnya? Bolehkah orang mati dapat menghubungi orang yang masih hidup dan sebaliknya?
Terlalu banyak lagi perkara misteri yang Tuhan ingin sampaikan kepada manusia.

Firmannya itu dibukukan dan dikenali sebagai Bible dalam bahasa Inggeris, Alkitab dalam bahasa Indonesia. Melalui kitab inilah manusia dapat mengetahui segalah rahsia dan misteri kehidupan di muka bumi ini. Jika saudara ingin mengetahui rahsia dan misteri yang lebih mendalam, teruskanlah pembacaan saudara dan jangan berhenti di sini.

Saudara pernah melihat wajah Tuhan? Manusia memang tidak dapat melihat wajah Tuhan tetapi Tuhan sentiasa melihat manusia. Sebab itu Tuhan ingin berkomunikasi dengan manusia. Tuhan mahu manusia mengetahui sesuatu tentang mereka. Asal usul bumi, langit dan segala isinya. Bagaimana asal usul manusia. Mengapa manusia dicipta. Mengapa manusia akhirnya mati. Siapa Tuhan itu. Apa kehendaknya. Adakah semua yang ada memang begitu sejak permulaan lagi. Adakah bumi ini akan berterusan seperti ini selama-lamanya? Dan sebagainya.
Bagi memenuhi tujuan itu, Tuhan memilih beberapa orang tertentu pada sepanjang zaman sebagai saluran komunikasiNya. Ada pelbagai cara bagaimana Tuhan menyatakan maklumat kepada manusia. Sebahagian mereka diizinkan bersemuka dan mendengar suara Tuhan. Sebahagian lagi mendengar suaraNya saja. Sebahagian lagi diberi pengelihatan tentang perisitiwa peristiwa yang Tuhan ingin manusia ketahui. Sebahagian lagi diberi mimpi dalam tidur, sebahagian lagi digerakkan dan sebahagian lagi diilhamkan untuk menulis. Sebahagian di antara mereka yang diilhamkan itu menulis dengan tangannya sendiri dan sebahgian lagi dibantu oleh jurutulisnya.

Orang-orang yang dipilih Tuhan sebagai saluran komunikasi itu dengan cara panggilan terus dikenali sebagai Nabi. Orang-orang yang dipilih Tuhan melalui pemuridan atau terlebih dahulu menjadi anak murid kepada seorang nabi khususnya Yesus, dikenali sebagia Rasul. Perkataan yang ditulis oleh para nabi atau pembantu mereka dan rasul dimuatkan dalam kitab. Sebahagian nabi menulis satu kitab saja dan sebahagian lagi menulis lebih dari satu kitab. Ada juga kitab yang mengandungi tulisan-tulisan oleh lebih dari seorang nabi.

Nabi-nabi dan rasul-rasul sebahagian besarnya tidak mengenali antara satu dengan yang lain kerana mereka hidup dalam zaman yang berlainan. Walaupun begitu, apabila kitab-kitab itu dijilidkan menjadi sebuah buku himpunan segala kitab, visi atau wawasan keseluruhan kitab itu adalah sama. Kandungan setiap kitab itu saling sokong menyokong satu sama lain dan ada kesinambungan dari satu kitab ke kitab yang lain.

Buku himpunan kitab-kitab itu dikenali sebagai Biblos dalam bahasa Greek, Bible dalam bahasa Inggeris dan Alkitab dalam bahasa Indonesia. Jumlah kitab-kitab dalam Alkitab adalah sebanyak 66 yang ditulis oleh 40 atau lebih orang. Alkitab itu memakan masa lebih kurang 1,600 tahun untuk menjadi Alkitab yang lengkap dan sempurna. Kitab yang pertama ditulis berjodol AYUB (Job) oleh Nabi Musa ketika dia berada di tanah Midian ketika dia bekerja sebagai gembala kambing. Kitab yang terakhir, WAHYU (Revelation) yang diturunkan kepada Rasul Yohanes di Pulau Patmos pada tahun 96 masehi. Semua kitab-kitab yang ditulis sebelum Masehi dikenali sebagai Perjanjian Lama dan semua kitab-kitab yang ditulis dalam tahun masehi dikenali sebagai Perjanjian Baru.

Bahasa asli Alkitab itu ada tiga. Bahasa Ibrani dan bahasa Aram bagi kitab-kitab perjanjian lama dan bahasa Greek bagi kitab perjanjian baru.

Daripada 66 kitab-kitab dalam Alkitab itu, berapa banyak kitabkah yang masih boleh digunakan sekarang ini?

Alkitab menjelaskan semua kitab dalam Alkitab digunakan sebab semuanya berfaedah.

“Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran.” 2 Timotius 3:16.

No comments: